Laporan Sumbangan Banjir BKMPJ

Pada awal bulan Disember 2013, satu bencana alam yang amat dahsyat iaitu banjir kilat telah melanda negeri-negeri dalam Malaysia. Dan antara negeri yang paling banyak mangsa yang terjejas dan menanggung jumlah kerugian terbesar adalah negeri Pahang Darul Makmur.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah perasaan yang timbul dalam hati ahli Badan Kebajikan Mahasiswa Pahang Jordan yang hanya mampu berdoa agar ahli keluarga mereka di Pahang diselamatkan dari bencana yang mara begitu pantas.

Namun, takdir Allah tidak mampu diubah. Ada keluarga ahli BKMPJ di Pahang yang rumahnya telah dimasuki air sehingga mereka terpaksa berpindah ke penempatan sementara. Semoga Allah memberi mereka kesabaran dan ketabahan untuk menghadapi segala cabaran yang mendatang.

Hati mana tidak sayu, apabila membuka laman sosial dan berita akhbar secara maya, berita yang terpampang adalah kisah rumah dan bandar yang biasa mereka pergi telah ditenggelami air. Tempat yang kita anggap sebagai rumahku syurgaku hilang begitu sahaja tanpa sempat dilakukan persediaan.

Perasaan ingin membantu dan menghulurkan pertolongan yang semakin hari semakin menebal dalam sanubari ahli BKMPJ khususnya dan Permai amnya, telah menggerakkan inisiatif untuk kami mengumpul dana bantuan segara khusus untuk mangsa banjir di Pahang.  

Sehubungan dengan itu, dengan bantuan dari seluruh mahasiswa Pahang di Jordan, satu tabung Bantuan Banjir Pahang telah dilancarkan dari 6 Disember sehingga 11 Disember. Semua mantiqoh yang mencakupi Amman, Irbid, Mu’tah, dan Mafrouq telah memberikan sumbangan masing-masing dengan niat agar kebajikan rakyat Pahang terbela.

Alhamdulillah, hasil kutipan selama 5 hari berjumlah 450 Jod itu telah berjaya dikumpulkan dan diserahkan kepada Pertubuhan Ikram Pahang yang telah bertungkus-lumus membantu mangsa banjir tanpa dikesampingkan ramai lagi badan dan NGO yang turut turun padang memberikan bantuan. Ini adalah lambang kesatuan rakyat Malaysia, yang membantu tanpa mengira warna kulit, bangsa waima agama. Semoga hubungan yang rapat dalam komuniti ini sentiasa berkekalan dan bertambah baik dari masa ke masa.

Walaupun terpisah berpisah beribu batu jauhnya dari bumi Malaysia, namun cinta dan perasaan kasih kami terhadap bumi yang satu itu tidak akan terpadam. Benar, erti intelektualisme pada seorang mahasiswa bukan sahaja pada mentelaah buku pelajarannya sahaja, namun mencakupi juga kecaknaannya terhadap nasib komuniti yang senantiasa perlu dibela. Memahami prinsip ini, ahli BKMPJ sentiasa mengambil berat akan sentiasa situasi dan kejadian yang berlaku di tanah air.

Akhir kalam, semoga infaq dan sedekah kita ini diterima oleh Allah sebagai amal soleh yang akan memberatkan mizan pahala di hari penghisaban kelak. Dan sama-samalah kita berdoa, agar bumi Pahang khususnya dijauhkan dari bencana dan malapetaka dan semua rakyatnya dilimpahkan dengan nur keimanan dan ketaatan kepada Allah. Jazakumullahu khairan kepada semua penderma.


“Kebajikan dilestari, Ikatan terpateri”



Simbolik penyerahan sumbangan dari wakil BKMPJ, saudara Akmal Zamri kepada wakil Pertubuhan Ikram Pahang En Husni.



No comments:

Post a Comment